SEJARAH ASYIKfm

SEJARAH UNIT ASYIK FM (SIARAN ORANG ASLI)

 

1.Siaran Orang Asli ditubuhkan pada 3 Februari 1959, beroperasi di Radio Malaya Bangunan Persekutuan (Federal House) Kuala Lumpur.  Siaran dipancarkan melalui gelombang pendek kebangsaan 49 meter atau 6025 khz selama setengah jam mulai jam 3.00 petang hingga 3.30 petang setiap hari.  Bahasa yang digunakan ialah dalam dialek Semai dan Temiar.  Pemilihan dalam dua dialek tersebut berdasarkan ketika itu Semai dan Temiar merupakan  suku kaum yang terbesar di kalangan 18 suku kaum Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman Hulu Pahang, Perak dan Kelantan.  Perintis Siaran Orang Asli ialah Bah Daniel, Ading Kerah dan Long Rais. 

 

2.Objektif awal penubuhan unit siaran Orang Asli ialah atas dasar kepentingan keselamatan negara dari ancaman anasir subversif Parti Komunis Malaya (PKM).  Pada masa itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyedari antara sasaran utama kumpulan tersebut ialah cuba mempengaruhi masyarakat Orang Asli di pedalaman menyokong perjuangan mereka.  Dianggarkan ketika itu seramai 20,000 Orang Asli menjadi kumpulan sasar Parti Komunis Malaya untuk mengembangkan dakyah mereka.  Bagi membenteras kegiatan tersebut Siaran Orang Asli telah diberi peranan penting dalam membantu agensi kerajaan khususnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Pasukan Polis Hutan (Senoi Praaq).   Hasil gabungan ketiga-tiga agensi tersebut telah berjaya  mengadakan program bersepadu yang dinamakan ‘KEMPEN GERAK SARAF ANTI KOMUNIS’. Pada dasarnya program ini dianggap berjaya menarik perhatian masyarakat Orang Asli di pedalaman.  Ini jelas terbukti melalui sokongan dan kerjasama mereka sepenuhnya dalam membantu pihak berkuasa dengan memberi maklumat-maklumat penting mengenai pergerakan komunis di hutan belantara sehingga memaksa mereka menyerah diri dan negara kembali aman.

 3.Setelah kerajaan melancarkan dasar penyusunan semula masyarakat dan mengambil perhatian terhadap konsep integrasi nasional, Siaran Orang Asli turut berubah mengikut peredaran zaman. Mulai tahun 70-an dan 90-an, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dari masa kesemasa telah menambah waktu Siaran Orang Asli.  Perkembangan ini dianggap sebagai satu pengiktirafan dan peluang kepada unit ini untuk merancang dan melaksanakan agenda siarannya ketahap yang lebih efisien dan komited.  Jika diperingkat awal siaran, hala tuju program terbitan siaran Orang Asli tertumpu kepada kepentingan keselamatan kini ke arah era globalisasi, Siaran Orang Asli telah mengorak langkah menyediakan input-input mengikut sasaran pendengar meliputi segenap lapisan masyarakat Orang Asli.  Program-program yang disiarkan selaras dengan fungsi Jabatan Penyiaran Malaysia untuk menerang dan memberi liputan secara mendalam dasar-dasar dan rancangan kerajaan supaya dapat difahami oleh sasaran.  Antara rancangan yang disajikan merangkumi pembangunan sosioekonomi seperti bidang pertanian, pendidikan, kesihatan, penerapan nilai Islam, kesenian & kebudayaan  dan pembangunan insan.  Menerusi rancangan-rancangan yang disiarkan ini, masyarakat Orang Asli telah mendapat manfaat dan seterusnya dapat mengubah sikap untuk berdikari sejajar dengan kehendak wawasan negara.

 4.Pada 1 April 2001, Siaran Orang Asli telah menambah dua lagi Dialek iaitu Jakun dan Temuan.  Perkembangan ini mendapat sokongan padu daripada Pemimpin masyarakat, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan.  Sebagai satu-satunya media penyiaran khas untuk masyarakat Orang Asli, unit ini sentiasa berusaha menambahbaik produk-produk rancangan yang disiarkan demi merealisasikan hasrat kerajaan mempercepatkan proses integrasi nasional.

 5.Tanggal 1 April 2005 sempena RTM menyambung ulang tahunnya yang ke 59 sekali lagi tercatat dalam sejarah penyiaran negara apabila penjenamaan semula radio dilancarkan yang melibatkan perubahan kepada 32 stesen RTM termasuklah Radio 7 Unit Siaran Orang Asli yang sekarang dikenali sebagai ASYIKfm

6. ASYIKfm menempa sejarah sekali lagi dengan menambah  waktu siaran selama 5  jam menjadikan siaran ini beroperasi selama 14 jam sehari mulai 1 Januari 2007. Buat pertama kalinya dalam sejarah ASYIKfm bersiaran pada waktu pagi iaitu dari           8.00 pagi hingga 10.00 malam. Pertambahan ini memberi peluang kepada ASYIKfm           untuk terus memberi  perkhidmatan penyiaran dan menyebar maklumat melalui siaran           radio ke arah membina serta  membentuk sikap, peribadi, pemikiran dan nilai-nilai           murni yang sesuai   untuk memajukan dan menjayakan       pembangunan sosio-          ekonomi masyarakat Orang Asli selaras           dengan wawasan kerajaan dan cita-cita           negara.

8. Mulai 22 Januari 2011  ASYIKfm menambah frekuensi 95.6 Mhz untuk pendengar di Johor menikmati siaran ini.

 9. Pada 31 Ogos 2011 ASYIKfm menambah waktu siarannya kepada 15 jam apabila penutupan siaran gelombang pendek bagi stesen Suara Islam dan lain-lain siaran  Suara Malaysia.

KEMBALI HALAMAN SEBELUM