MP Tidak Boleh Sertai Sidang Dewan Rakyat Jika Tidak Angkat Sumpah - Speaker

Kuala Lumpur - Kesemua 222 anggota parlimen mesti mengangkat sumpah jawatan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ke-13, yang akan bermula 24 Jun ini.



Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata jika ada yang tidak berbuat demikian tanpa sebab kukuh, mereka akan dihalang daripada menyertai persidangan Dewan Rakyat, justeru menjadikan mereka 'strangers of the House'.

Beliau menjelaskan mengenai Peraturan Mesyuarat Nombor 1 yang menyatakan anggota-anggota parlimen perlu mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan bagi satu penggal baharu itu setelah memilih seorang yang dipertua Dewan Rakyat.

"Jika anda tidak (berbuat demikian), anda memperolokkan peraturan anda sendiri sebagai wakil rakyat, mempersendakan Parlimen, undang-undang dan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi taklimat bagi anggota parlimen.

Beliau diminta mengulas mengenai rancangan anggota-anggota parlimen pembangkang untuk tidak mengangkat sumpah jawatan pada hari berkenaan sebagai tanda memboikot keputusan pilihan raya umum 5 Mei lepas.