Jangan Heret Institusi Raja Dengan Emosi Tidak Terkawal - Raja Perlis

Kuala Lumpur -  Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail hari ini meminta rakyat agar tidak mengheret institusi Raja dengan emosi yang tidak terkawal demi memuaskan hati sesetengah pihak.

 

Titah baginda institusi Raja sedikit sebanyak turut terpalit dengan pelbagai provokasi apabila wujudnya beberapa isu sensitif yang mencabar kedaulatan dan perundangan negara mutakhir ini.

Justeru, titahnya, sebarang percubaan melibatkan institusi berkenaan dengan emosi yang tidak terkawal seolah-olah mempermainkan ketinggian kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

 

"Di bawah Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri dan menteri besar, dan berhak memberi titah bersifat nasihat dan panduan kepada pemimpin kerajaan dan politik," titah baginda semasa merasmikan seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah institusi Raja Melayu adalah unik kerana mengamalkan pemuafakatan menerusi mekanisme Majlis Raja-Raja yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

"Kita tidak seharusnya lupa bahawa melalui perundingan Majlis Raja-Raja tercetusnya pelbagai gagasan yang mendatangkan manfaat untuk seluruh rakyat jelata, terutama yang berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah hanya elemen pendidikan merupakan ubat yang mujarab bagi menangani isu segelintir rakyat Malaysia yang tidak menghormati institusi Raja.