PM - Masa Untuk Penjawat Awam Tunai Amanah Rakyat

Putrajaya - Sudah hampir sebulan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berlalu dan dunia menerima keputusan rakyat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memimpin negara, maka anggota penjawat awam mempunyai tanggungjawab besar bersama-sama menunaikan amanah rakyat itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau berkata penjawat awam harus mula mengorak langkah membina kesejahteraan dan membantu memajukan negara melalui usaha perubahan yang diinginkan rakyat daripada kerajaan.

Penjawat awam tidak mampu menoleh ke belakang, membuang masa dengan 'politiking berlebihan', kerana ia akan hanya mengalih tumpuan daripada usaha yang lebih besar, iaitu untuk menunaikan amanah yang diberikan rakyat pada PRU13, katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri selepas PRU13, di Dataran Perdana di Putrajaya.

Datuk Seri Najib berkata dunia telah menerima keputusan rakyat Malaysia pada PRU13 yang memberikan mandat kepada BN untuk memimpin negara berdasarkan ucapan tahniah yang diterimanya daripada ramai pemimpin dunia.

"Kini sebagai sebuah negara, mari kita perlihatkan bahawa kita pengamal demokrasi matang, bukan saja akui kita menerima proses demokrasi ini, tapi yang penting selepas selesai pilihan raya, kita tunjukkan bahawa kita ialah penerima demokrasi parlimen yang cukup matang," katanya.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita akan teruskan usaha membawa perubahan dan transformasi, kerana rakyat sudah menunjukkan bahawa mereka mahukan perubahan, dan ia boleh dilakukan tanpa menukar kerajaan," tambahnya.

Katanya jika ada kelemahan yang dikesan sebelum ini, ia mungkin berkisar kepada jentera kerajaan yang kelihatan 'tidak berapa cekap' dalam menangani 'perang persepsi'.

"Ini yang mungkin kita boleh perbaiki, bagaimana kita harus menangani perang persepsi - bukan realiti tapi persepsi. Persepsi boleh dibentuk dengan pelbagai cara, bukan saja dengan cara bersemuka (face to face) tapi kini sudah ada Facebook (untuk membentuk persepsi).

"Ini perlu kita beri perhatian, mungkin kita kurang tajam dalam perkara ini, tapi kita boleh rancang dan dengan menggunakan pengalaman kita, supaya di masa akan datang kita akan lebih lebih berjaya untuk memaparkan apa yang sebenarnya - bukan persepsi tapi realiti," katanya.

Merujuk kepada PRU13, Datuk Seri Najib berkata kerajaan berusaha melakukan yang terbaik mengikut undang-undang negara dan menampilkan banyak penambahbaikan untuk menjadikan ia lebih telus, termasuk menerima cadangan daripada parti-parti pembangkang.