Tujuh Anak Peneroka FELDA Takluk Everest Selamat Pulang Ke Tanah Air

Sepang - Tujuh anak peneroka FELDA yang mengikuti projek Everest FELDA 2013 selamat pulang ke tanah air semalam selepas berjaya menakluki gunung tertinggi di dunia itu pada 21 dan 23 Mei lepas.


Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 8.30 malam dari Kathmandu, Nepal disambut Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, selain keluarga serta persatuan pendaki gunung negara.



Melahirkan kesyukuran tidak terhingga, ketua kumpulan itu, Siti Hanisah Sharuddin, 23, berkata kejayaan mereka adalah untuk dikongsi warga FELDA dan seluruh rakyat Malaysia.

Siti Hanisah yang berasal dari FELDA Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan menjadi wanita termuda negara menakluk puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter pukul 7.41 pagi pada 23 Mei waktu Malaysia.

"Saya tak pernah ada rasa mengalah, ayahpun ada pesan setiap langkah perlu ingat Allah," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan kepulangan mereka.

Beliau merupakan pendaki terakhir tiba di ketinggian 8,748 meter (South Summit) selepas terpaksa menangguhkan pendakian selama dua hari kerana masalah kesihatan.