Kementerian Pendidikan Tekad Sedia Peluang Pendidikan Berkualiti Kepada Semua

Kuala Lumpur - Kementerian Pendidikan bertekad menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa tanpa mengira kaum dan agama, sama ada di bandar atau luar bandar, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata dalam usaha mencapai status negara maju, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda pendidikan demi menjana modal insan masa depan.



Katanya, kerajaan melakukanpelbagai usaha bagi memberi pendidikan bermutu tinggi seperti penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.

"Melalui inisiatif hasil inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam sektor pendidikan, sebanyak 38 SBP telah dinaik taraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun lepas, dan ini merupakan kejayaan besar bagi seluruh warga pendidik di SBP," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Hari Kecemerlangan SBP ke-40 di Pusat Konvensyen CIDB semalam.

Datuk Seri Idris berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta RM1 bilion bagi pembangunan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah yang menyaksikan sejumlah RM100 juta diperuntuk kepada SBP.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah SBP terbaik keseluruhan 2012 kepada Kolej Tunku Khursiah, Seremban yang turut merangkul anugerah sistem rumah terbilang SBP 2012 manakala Sekolah Menengah Seri Puteri di Cyberjaya, Selangor merangkul anugerah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik keseluruhan SBP 2012.