Khairy Gembira Festival Belia Putrajaya Dapat Sambutan Baik

Putrajaya - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melahirkan rasa gembira terhadap sokongan dan penyertaan golongan belia sempena Festival Belia Putrajaya 2013, yang masuk hari kedua.

Beliau meminta golongan belia memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan pada festival itu.



"Masuk hari kedua ini, saya melihat sambutannya cukup baik. Belia kita begitu bertenaga. Kita mahu gunakan tenaga belia ini dengan cara yang baik untuk kepentingan dan pembangunan negara," katanya kepada pemberita.

Khairy berkata pada tahun depan, festival itu akan diseimbang dengan program ilmu dan kerohanian kerana pengisiannya penting dalam usaha kerajaan membentuk modal insan yang tidak hanya leka dengan aktiviti bersifat duniawi serta kebendaan.

"Saya tidak mahu festival belia ini hanya menjurus ke arah hiburan sahaja. Hiburan itu ada, tapi kita seimbangkan program kita dengan acara yang memberi manfaat ilmu dan kerohanian," katanya.