Jabatan Perangkaan Jalan Dua Penyiasatan Sosial Bermula 15 Mei-31 Julai

Kuala Lumpur - Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan dua Penyiasatan Sosial serentak iaitu Penyiasatan Literasi 2013 dan Kajian Persepsi Integriti Nasional 2013 di seluruh negara, bermula pada 15 Mei hingga 31 Julai ini.

Penyiasatan Literasi dijalankan secara sampel yang meliputi lebih kurang 7,800 isi rumah di tempat kediaman terpilih di seluruh negara meliputi semua penduduk Malaysia.



Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan tersebut berkata penyiasatan ini bertujuan untuk mendapatkan cerminan keberkesanan sistem pendidikan negara dan penunjuk tahap pembangunan negara.

"Hasil kajian ini akan dibandingkan dengan pencapaian literasi masyarakat antarabangsa.

"Maklumat yang dikumpul daripada responden merangkumi keupayaan literasi bahasa, numerasi dan literasi ICT serta kecenderungan membaca penduduk Malaysia," katanya.

Dalam ada itu, kajian Persepsi Integriti Nasional bertujuan menilai kefahaman dan persepsi masyarakat berkaitan jenayah rasuah, kualiti penyampaian perkhidmatan awam, tadbir urus koporat dan etika perniagaan, kesejahteraan keluarga dan komuniti, budi bahasa masyarakat dan inisiatif kerajaan untuk rakyat.

Kajian ini pula meliputi lebih kurang 10,000 isi rumah warganegara Malaysia sahaja dan di samping tempat kediaman, penjawat awam, anggota polis dan tentera serta pertubuhan ekonomi juga terpilih.