Waythamoorty Janji Selesai Masalah Masyarakat India Dalam Masa Lima Tahun

Kuala Lumpur - Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy berjanji akan menyelesaikan masalah dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat India di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Waythamoorthy, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau akan memberi fokus terhadap masalah yang dihadapi kaum India seperti pekerja ladang yang tidak mendapat pembelaan, mereka yang tidak mempunyai taraf warganegara, pendidikan serta peluang perniagaan dan pekerjaan.



Sambil menjelaskan bahawa pelantikan beliau memberi peluang kepadanya untuk membebaskan masyarakat India daripada pelbagai masalah.

"Mulai sekarang, kami akan bawa suara golongan miskin kepada kerajaan dan memastikan masyarakat India tidak lagi hidup dengan mengharapkan belas ihsan, tetapi mendapat hak mereka yang sah." katanya pada sidang media.

Peguam berusia 47 tahun itu juga membidas pengkritiknya, terutama pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan laskar maya mereka dengan berkata: "Kepada semua pengkritik ini, kami ingin berkata, katalah apa yang kamu mahu. Kami akan buktikan bahawa kamu semua salah dan membuat kamu menjilat ludah sendiri apabila tiba masanya dan rakyat akan mengajar kamu pada pilihan raya akan datang."