PM Ingatkan Umat Islam Perbanyak Ibadah, Solat Tarawih

KUALA LUMPUR  - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam terus memperbanyakkan amal ibadah seperti menunaikan solat tarawih di masjid dan surau sepanjang Ramadan, yang sudah hampir dua minggu ini.

Beliau berkata umat Islam seharusnya tidak melepaskan peluang untuk memohon keampunan Allah SWT di bulan yang mulia ini.

"Saya harap kita kekal bersemangat untuk memeriahkan malam-malam Ramadan di masjid-masjid dan surau-surau, menunaikan tarawih bersama jemaah lain.

"Bagi yang mempunyai kekangan, tunaikanlah tarawih apabila berkesempatan walau seorang diri. Insya-Allah, dengan keikhlasan dan keimanan dalam beribadat, kita akan mendapat keredhaanNya," katanya dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com bertajuk 'Manfaat Tarawih di Bulan Ramadan'.

Datuk Seri Najib berkata istimewanya bulan Ramadan, bukan sahaja dapat menambah baik hubungan dengan Allah SWT, bahkan berpeluang untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga dan ukhuwah sesama Islam, bersama-sama menunaikan ibadah dan bersolat tarawih.

(Sumber - Bernama)