Enam Termasuk Empat Datuk Direman Lima Hari Berhubung Kes Rasuah Di Koperasi GLC

PUTRAJAYA  - Enam individu termasuk empat bergelar 'Datuk' direman lima hari untuk membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Enam individu tersebut ialah pengerusi, setiausaha, bendahari yang masing-masing bergelar Datuk serta seorang anggota lembaga koperasi GLC dan isterinya yang merupakan penjawat awam selain seorang pemilik syarikat pembekal yang juga bergelar Datuk.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman sehingga 11 Jun ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, tiga daripada enam indvidu tersebut menangis ketika merayu untuk memendekkan tempoh reman dengan memberikan alasan mempunyai masalah kesihatan dan juga ingin menyambut bulan Ramadan bersama keluarga.

Enam individu itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.45 pagi dan anggota keluarga yang menunggu kelihatan menangis sebaik melihat ketibaan enam individu terbabit.

Semalam, keenam-enam individu itu ditahan di sekitar Lembah Klang kerana disyaki memperdaya tidak kurang daripada 450 anggota koperasi di bawah naungan mereka, yang menghasilkan komisyen ratusan ribu ringgit bagi anggota-anggota lembaga berkenaan.

(Sumber - Bernama)

  • Jun 7, 2017
  •  
  • Jumla