Kerajaan Amat Menitikberatkan Kebajikan Warga Felda – Datuk Seri Najib

KUALA LUMPUR - Kerajaan amat menitikberatkan kebajikan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selaras dengan peranan pentingnya dalam memacu kemajuan sosioekonomi negara, kata Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebahagian besar kejayaan negara sebagai pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia dan pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia adalah hasil titik peluh warga Felda.

"Selagi saya memegang jawatan Perdana Menteri, Insya-Allah, saya akan memastikan kemajuan Felda ditingkatkan dan kebajikan warganya terjamin," katanya menerusi catatan di blog www.najibrazak.com.

Beliau berkata menerusi model perniagaan Felda, ia telah meningkatkan taraf hidup warganya dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini.

Datuk Seri Najib  berkata sebanyak 8,470 unit rumah generasi kedua sedang dibina dalam Fasa 1 dan 4,990 buah rumah dijangka siap pada tahun ini.

Dalam bidang pendidikan pula, Najib berkata anak-anak Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara berhak menerima insentif kewangan seperti skim insentif anak peneroka dan dana khas pelajar cemerlang ke luar negara.

((BERNAMA))