Hentikan Tabiat Buruk, Jaga Tutur Kata Terutama Di Bulan Ramadan - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam menghentikan tabiat buruk serta menjaga tutur dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, beliau amat tertarik dengan perkongsian Mufti Zimbabwe, Mufti Ismail Menk yang mengajak semua umat Islam supaya menghentikan segala tabiat buruk.

"Sama-samalah kita menjaga tutur kata, mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebar fitnah kerana perbuatan sebegini sangat merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan," katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com.

Datuk Seri Najib percaya bahawa menjaga tutur kata bukanlah satu perkara yang asing, sebagai orang Islam atau sebagai orang Malaysia.

"Sejak di bangku sekolah lagi, kita telah diajar kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Kalau dalam bahasa Inggeris, kata-kata "If you have nothing good to say, say nothing" sering digunakan sebagai peringatan atau pedoman," katanya.

Beliau berkata selain menahan lapar dan dahaga, umat Islam digalakkan menghayati Ramadan kerana bulan ini penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

"Pahala ibadah dilipat gandakan dan Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan.

Datuk Seri Najib turut memetik hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun," katanya.

Beliau berkata umat Islam perlu mengambil peluang untuk menghayati dan meningkatkan pengisian ibadah sama ada dari segi rohani atau pun dari segi akhlak.

(Sumber - Bernama)