Malaysia Anggotai Lembaga Pengarah SMIIC Mulai Tahun Ini - TPM

PUTRAJAYA - Malaysia menganggotai Lembaga Pengarah dalam Institut Standards dan Metrologi untuk Negara-Negara Islam (SMIIC) mulai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Halal Malaysia sesuai dengan peranan aktif dimainkan kerajaan dalam pembangunan standard dan akreditasi halal global.

Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Halal Malaysia bil 2/2017 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Timbalan perdana menteri berkata majlis itu turut memperakukan cadangan Blueprint (Pelan Tindakan) Memperkasa Bumiputera dalam industri halal.

Pelan tindakan itu akan diselaraskan bersama agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) di bawah Unit Peneraju Ekonomi Bumiputera (Teraju), katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata Majlis Halal Malaysia sejak ditubuhkan pada 2016 telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menambah baik proses pengeluaran Sijik Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui program Halal Fast Force.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaksanakan program itu sejak 1 Ogos 2016 dan sedang diperluaskan di negeri-negeri secara berperingkat bagi memastikan proses SPHM dilaksanakan dengan seragam dan cepat.

Bagi merancakkan lagi ekosistem halal di negara ini, Beliau berkata kerajaan sedang menggerakkan lima agenda penting untuk tempoh 2018 hingga 2020.

Agenda itu adalah memperkasakan Halal Professional Board (HPB) di peringkat antarabangsa untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang halal; dan menubuhkan International Halal Authority Board (IHAB) yang dapat mengharmonikan semua autoriti halal dunia dalam pensijilan halal.

Selain itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kerajaan turut membentuk Halal International Research Academy (HIRA) yang belum pernah lagi terdapat di rantau ini.

Beliau berkata kerajaan turut mewujudkan Malaysia Institute Halal Academy (MIHA) untuk melahirkan generasi teknokrat dalam industri halal; dan menubuhkan Halal Innovation and Technology Centre (HITeC) untuk mengembangkan lagi tahap kreativiti dan inovasi dalam industri halal.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebanyak tujuh kertas pembentangan daripada Jakim, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

-BERNAMA-