Semua diminta turun padang

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa  banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Kuantan, Pahang,  semalam.

KUANTAN 3 Dis. - Semua pihak diminta turun padang untuk  bersama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tidak kira daripada segi  tenaga mahupun kewangan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, semua  agensi berkaitan termasuk istana juga harus memberi bantuan sewajarnya kepada  mangsa banjir di negeri ini.

 

Baginda bertitah, rakyat perlu menerima bencana alam yang sukar dijangka itu  dan kerajaan pastinya akan berusaha membantu daripada segi bantuan peralatan dan  makanan.

"Hujan lebat yang berterusan menyebabkan banyak tempat dilanda banjir dan ini  sukar dijangka, malah kita juga bimbang sekiranya hujan tidak berhenti, keadaan  akan menjadi lebih buruk.

"Bagaimanapun, buat masa ini, bantuan segera perlu diberikan kepada mangsa  yang terjejas akibat situasi ini," titah baginda selepas melawat Pusat  Pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini hari  ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Datuk  Shamsiah Hussin; Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Yang Dipertua  Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob.

Sebanyak 265 mangsa banjir daripada 54 keluarga dipindahkan ke pusat  pemindahan itu ekoran rumah di sekitar Kampung Galing Besar dinaiki air.

Dalam lawatan itu, baginda turut meninjau dewan makan tempat penyediaan  makanan kepada mangsa banjir, selain memberi sumbangan kepada mereka.

Tengku Abdullah bertitah, soal perparitan bukan satu-satunya faktor  berlakunya banjir memandangkan hujan lebat berterusan melanda beberapa daerah di  negeri ini.

Dalam pada itu, baginda mahu semua rakyat melakukan solat hajat bagi  mendoakan kesejahteraan rakyat negeri ini daripada ditimpa musibah.

"Saya harap mangsa banjir bersabar dengan dugaan dialami dan semoga keadaan  akan kembali pulih secepat mungkin," titah baginda.