KUALA LUMPUR: Penubuhan Music Rights Malaysia Bhd (MRM) diyakini bakal menyelesaikan isu kekeliruan pembayaran royalti yang dihadapi industri muzik dan pengguna sejak lebih 10 tahun lalu.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kewujudan badan pelesenan tunggal bagi kutipan royalti muzik di Malaysia itu, juga akan mewujudkan satu garis panduan jelas mengenai kadar bayaran royalti kepada artis

 

Katanya, MRM yang diwujudkan hasil gabungan empat badan pelesenan muzik sedia ada, mencari kaedah baru untuk menentukan pengagihan royalti muzik dilaksanakan scara adil dan saksama.

 

"Penubuhan MRM secara tidak langsung mewujudkan kepercayaan dalam kalangan artis yang selama ini menjadi mangsa 'kecurian' atau ketirisan dalam kutipan royalti, menyebabkan mereka rasa tidak dihargai.

 

"Saya difahamkan perbincangan mengenai perkara ini sudah bermula lebih 10 tahun lalu dan disebabkan itu saya mahu selesaikannya apabila dipilih menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya pada sidang media Pelancaran MRM di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong; Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Shamsiah Kamaruddin; Pengerusi MRM, Tun Zaki Azmi dan Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP), Habsah Hassan.

MRM yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari tahun lalu, diwujudkan hasil gabungan MACP, Public Performance Malaysia (PPM), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers and Artists Rights (PRISM).

 

Ia menjadi satu-satunya badan bertanggungjawab mengumpul royalti muzik daripada kira-kira 50,000 syarikat berdaftar, sebelum mengagihkannya kepada MACP, PPM, RPM dan PRISM pada kadar yang dipersetujui.

 

Hamzah berkata, MRM mula mengumpul royalti pada 1 Oktober tahun lalu dengan jumlah terkumpul setakat ini kira-kira RM4 juta, dan ia dijangka mencecah sekitar RM85 juta pada akhir tahun ini.

 

Ditanya mengenai peruntukan RM200,000 diberikan kepada MRM, Hamzah berkata, ia bertujuan untuk dilaburkan dalam teknologi dikenali sebagai BMAT dari Sepanyol yang berfungsi menentukan jumlah sesuatu lagu diputarkan, di radio dan televisyen, sekali gus memudahkan penentuan kadar royalti yang perlu dibayar.

 

"Sebelum ini, ada yang kata jumlah kutipan royalti muzik ini sepatutnya mencecah RM10 bilion setahun, namun ada yang kata hanya RM100 juta setahun.

 

"Tiada siapa yang tahu jumlah sebenar kerana tiada satu kaedah menyusun kadar bayaran ini. Namun MRM akan mencari kaedah dan akan mengagihkannya kepada empat badan di bawahnya," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRM, R Ramani Ramalingam berkata, badan itu dijangka mengagihkan royalti terbabit kepada empat badan pelesenan muzik setiap tiga atau enam bulan.

 

"Empat badan terbabit kemudian akan mengagihkan kepada kira-kira 6,000 ahli terdiri daripada komposer, penulis lirik, artis, syarikat penerbitan dan syarikat rakaman," katanya.