Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, para petugas PDRM di seluruh negara akan memberi komitmen penuh dalam memastikan kadar kemalangan dapat diturunkan, lalu lintas lancar serta kadar jenayah khususnya kejadian pe­cah rumah dibendung.

 

“Sama seperti tahun sebelum­nya, kita akan menyusun strategi dalam melancarkan pergerakan lalu lintas dan menurunkan kadar kemalangan biasa serta kemala­ngan maut selain mengambil pendekatan rondaan kawasan yang sering berlaku kemalangan serta kempen kesedaran.

“Bagi mengawal jenayah pecah rumah pula, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­lancarkan Op Selamat Ke-12 sempena Tahun Baharu Cina 2018 dan Unit Siasatan Lebuh raya (USLR) Zon Tengah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor.

Ujar Mohamad Fuzi, pelaksanaan Op Selamat memberikan impak positif apabila kadar kemalangan maut mencatatkan penurunan 10 peratus daripada 261 kes pada tahun 2016 kepada 235 kes tahun lalu.

“Walaupun kadar kemala­ngan menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus daripada 19,572 kes pada tahun 2016 kepada 20,752 kes pada tahun lalu, namun ianya adalah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan setiap tahun.

“Bagi memastikan kempen ini berjalan lancar, masyarakat juga dinasihatkan untuk sama-sama memberikan sokongan terutama­nya mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah serta mematuhi undang-undang jalan raya,” ujarnya.