Kejayaan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengejutkan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C hari ini juga memberi harapan baharu kepada peminat bola sepak Malaysia.

 

Rembatan cantik pemain te­ngah, Danial Amier Norhisham pada minit ke-28 memastikan kemenangan Malaysia di Stadium Kunshan, sekali gus muncul naib juara kumpulan di belakang Iraq yang menang 1-0 ke atas Jordan.

“Saya sangat berpuas hati de­ngan keputusan ini, kami mencipta sejarah, kami membuktikan kita ada pemain yang boleh bermain untuk mencapai kejayaan pada masa depan.

 

“Pemain menunjukkan karakter, kita bukan saja mendapat keputusan baik dengan Jordan (seri 1-1) malah menewaskan Arab Saudi yang sudah lama kita tidak melakukannya. Ini membuktikan Malaysia boleh bersaing di pe­ringkat ter­tinggi,” kata Kim Swee kepada pemberita.

 

Tekanan yang dirasai Arab Saudi untuk mencari gol pe­nyamaan turut mendorong bek kiri mereka, Hamdan Al Shamrani melakukan kesilapan pada waktu kecederaan hingga dibuang padang.

Malaysia muncul negara Asia Tenggara pertama layak ke suku akhir selepas Thailand terdahulu dibelasah 5-1 oleh Palestin dalam Kumpulan B.

Selaku naib juara Kumpulan C, pasukan negara akan bertemu juara Kumpulan D sama ada Korea Selatan, Vietnam atau Au­stralia.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara.

“Syabas Harimau Malaya B-23 berjaya tundukkan Arab Saudi untuk ke suku akhir AFC B-23!,” kata Perdana Menteri dalam Twitter.