Hentikan Tabiat Buruk, Jaga Tutur Kata Terutama Di Bulan Ramadan - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam menghentikan tabiat buruk serta menjaga tutur dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, beliau amat tertarik dengan perkongsian Mufti Zimbabwe, Mufti Ismail Menk yang mengajak semua umat Islam supaya menghentikan segala tabiat buruk.

"Sama-samalah kita menjaga tutur kata, mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebar fitnah kerana perbuatan sebegini sangat merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan," katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com.

Datuk Seri Najib percaya bahawa menjaga tutur kata bukanlah satu perkara yang asing, sebagai orang Islam atau sebagai orang Malaysia.

"Sejak di bangku sekolah lagi, kita telah diajar kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Kalau dalam bahasa Inggeris, kata-kata "If you have nothing good to say, say nothing" sering digunakan sebagai peringatan atau pedoman," katanya.

Beliau berkata selain menahan lapar dan dahaga, umat Islam digalakkan menghayati Ramadan kerana bulan ini penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

"Pahala ibadah dilipat gandakan dan Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan.

Datuk Seri Najib turut memetik hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun," katanya.

Beliau berkata umat Islam perlu mengambil peluang untuk menghayati dan meningkatkan pengisian ibadah sama ada dari segi rohani atau pun dari segi akhlak.

(Sumber - Bernama)

BR1M 2017 peringkat kedua dibayar mulai 5 Jun - Johari

KUALA LUMPUR: Pembayaran peringkat kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 akan dibuat mulai 5 Jun ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini.


Beliau berkata pembayaran yang bersempena sambutan Hari Raya Adilfitri itu melibatkan penerima yang telah menerima BR1M 2017 semasa peringkat pertama sebelum ini, manakala pembayaran bagi permohonan rayuan dijangka pada 17 Jun ini.

 "Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima, dan bagi mereka yang tidak mempunyai nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

-BERNAMA-

Malaysia Anggotai Lembaga Pengarah SMIIC Mulai Tahun Ini - TPM

PUTRAJAYA - Malaysia menganggotai Lembaga Pengarah dalam Institut Standards dan Metrologi untuk Negara-Negara Islam (SMIIC) mulai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Halal Malaysia sesuai dengan peranan aktif dimainkan kerajaan dalam pembangunan standard dan akreditasi halal global.

Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Halal Malaysia bil 2/2017 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Timbalan perdana menteri berkata majlis itu turut memperakukan cadangan Blueprint (Pelan Tindakan) Memperkasa Bumiputera dalam industri halal.

Pelan tindakan itu akan diselaraskan bersama agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) di bawah Unit Peneraju Ekonomi Bumiputera (Teraju), katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata Majlis Halal Malaysia sejak ditubuhkan pada 2016 telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menambah baik proses pengeluaran Sijik Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui program Halal Fast Force.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaksanakan program itu sejak 1 Ogos 2016 dan sedang diperluaskan di negeri-negeri secara berperingkat bagi memastikan proses SPHM dilaksanakan dengan seragam dan cepat.

Bagi merancakkan lagi ekosistem halal di negara ini, Beliau berkata kerajaan sedang menggerakkan lima agenda penting untuk tempoh 2018 hingga 2020.

Agenda itu adalah memperkasakan Halal Professional Board (HPB) di peringkat antarabangsa untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang halal; dan menubuhkan International Halal Authority Board (IHAB) yang dapat mengharmonikan semua autoriti halal dunia dalam pensijilan halal.

Selain itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kerajaan turut membentuk Halal International Research Academy (HIRA) yang belum pernah lagi terdapat di rantau ini.

Beliau berkata kerajaan turut mewujudkan Malaysia Institute Halal Academy (MIHA) untuk melahirkan generasi teknokrat dalam industri halal; dan menubuhkan Halal Innovation and Technology Centre (HITeC) untuk mengembangkan lagi tahap kreativiti dan inovasi dalam industri halal.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebanyak tujuh kertas pembentangan daripada Jakim, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

-BERNAMA-

PTPTN Puji Langkah Kerajaan Terengganu Deposit Sumbangan Pelajar Cemerlang Dalam SSPN-i

KUALA TERENGGANU - Langkah kerajaan Terengganu mendepositkan sumbangan kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan ke dalam akaun simpanan SSPN-i dipuji Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia satu langkah bijak dalam usaha menyuburkan budaya menyimpan dari usia yang muda.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama pimpinan kerajaan Terengganu dan pemberian sumbangan Hari Raya oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu di Seri Iman di sini, semalam.

-BERNAMA-

Subcategories