Kerajaan Amat Menitikberatkan Kebajikan Warga Felda – Datuk Seri Najib

KUALA LUMPUR - Kerajaan amat menitikberatkan kebajikan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selaras dengan peranan pentingnya dalam memacu kemajuan sosioekonomi negara, kata Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebahagian besar kejayaan negara sebagai pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia dan pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia adalah hasil titik peluh warga Felda.

"Selagi saya memegang jawatan Perdana Menteri, Insya-Allah, saya akan memastikan kemajuan Felda ditingkatkan dan kebajikan warganya terjamin," katanya menerusi catatan di blog www.najibrazak.com.

Beliau berkata menerusi model perniagaan Felda, ia telah meningkatkan taraf hidup warganya dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini.

Datuk Seri Najib  berkata sebanyak 8,470 unit rumah generasi kedua sedang dibina dalam Fasa 1 dan 4,990 buah rumah dijangka siap pada tahun ini.

Dalam bidang pendidikan pula, Najib berkata anak-anak Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara berhak menerima insentif kewangan seperti skim insentif anak peneroka dan dana khas pelajar cemerlang ke luar negara.

((BERNAMA))

Kerajaan Tetap Adil Pada Semua Bangsa Dan Agama - TPM

ALOR SETAR  - Kerajaan memberi jaminan semua bangsa dan agama di Malaysia tetap diberikan keadilan walaupun Islam menjadi tunjang utama dan agama Persekutuan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keadilan dan keutamaan itu juga tetap diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan agar mereka tidak berasa disisihkan dalam negara yang semakin maju kini.

"Walaupun Malaysia sebuah negara majmuk dan kita jangkakan pada 2050 bilangan umat Islam akan terus bertambah kepada 80 peratus, kerajaan yang ada tetap adil kepada semua.

(Sumber - Bernama)

Hentikan Tabiat Buruk, Jaga Tutur Kata Terutama Di Bulan Ramadan - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam menghentikan tabiat buruk serta menjaga tutur dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, beliau amat tertarik dengan perkongsian Mufti Zimbabwe, Mufti Ismail Menk yang mengajak semua umat Islam supaya menghentikan segala tabiat buruk.

"Sama-samalah kita menjaga tutur kata, mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebar fitnah kerana perbuatan sebegini sangat merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan," katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com.

Datuk Seri Najib percaya bahawa menjaga tutur kata bukanlah satu perkara yang asing, sebagai orang Islam atau sebagai orang Malaysia.

"Sejak di bangku sekolah lagi, kita telah diajar kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Kalau dalam bahasa Inggeris, kata-kata "If you have nothing good to say, say nothing" sering digunakan sebagai peringatan atau pedoman," katanya.

Beliau berkata selain menahan lapar dan dahaga, umat Islam digalakkan menghayati Ramadan kerana bulan ini penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

"Pahala ibadah dilipat gandakan dan Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan.

Datuk Seri Najib turut memetik hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun," katanya.

Beliau berkata umat Islam perlu mengambil peluang untuk menghayati dan meningkatkan pengisian ibadah sama ada dari segi rohani atau pun dari segi akhlak.

(Sumber - Bernama)

BR1M 2017 peringkat kedua dibayar mulai 5 Jun - Johari

KUALA LUMPUR: Pembayaran peringkat kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 akan dibuat mulai 5 Jun ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini.


Beliau berkata pembayaran yang bersempena sambutan Hari Raya Adilfitri itu melibatkan penerima yang telah menerima BR1M 2017 semasa peringkat pertama sebelum ini, manakala pembayaran bagi permohonan rayuan dijangka pada 17 Jun ini.

 "Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima, dan bagi mereka yang tidak mempunyai nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

-BERNAMA-

Subcategories